Ads 468x60px

1 Mei 2011

Peranan Media Sebagai Pemangkin Dakwah (1)





Sewaktu  menonton sebuah cerita yang berbentuk animasi berkisar tentang kisah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ‘THE LAST PROPHET‘, hati terpaut untuk  menghayati perjalanan kisah hidup baginda S.A.W. menerusi jalinan cerita filem ini.

Terimbau kembali kenangan semasa menuntut di sekolah dahulu yang mana begitu sukar sekali hendak menghafal dan menyebut fakta-fakta sejarah yang banyak menggunakan simbol tarikh dan pelbagai lagi. Jenuh pula hendak mengingat dan memahami satu persatu sirah junjungan ini memandangkan pada waktu itu, diri ini masih lagi kerdil dalam mengenali dunia Islam dan erti dakwah itu sendiri.
Berkat panduan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu, Alhamdulillah segala halangan dalam jihad menuntut ilmu dapat diatasi. Itu untuk mereka yang mahu berusaha dan punya waja diri yang kuat untuk berjihad, bagaimana pula bagi yang kurang upaya dan lemah semangatnya? Pasti kecundang di pertengahan jalan sedang dakwah yang disampaikan tidak dapat disebarkan. Hati-hati kecil inilah yang perlu dilentur dan dibentuk semangat jati dirinya agar kelak ketika sudah menjadi dewasa, takkan goyah menerima cercahan.

Tetapi bagaimana caranya yang efektif? Cara pendekatan yang menghiburkan dan yang dekat di pandangan. Jika cerita ini ditontoni oleh adik kecil yang masih di awal usia, pasti guru-guru mereka tidak sukar menyampaikan dakwah kepada mereka lantaran dibantu dek teknologi media. Cerita ini menggamit hati untuk mengimbau kenangan semasa di bangku persekolahan suatu ketika dahulu lantas memberi sejenak kesempatan untuk mencoretkan apa yang ada di lintasan fikiran.

Namun, bukan itu tajuk utama yang hendak disampaikan mahupun dirungkaikan. Persoalan yang terdetik di minda pemberian tuhan Rabbul izzati ini adalah bagaimana caranya untuk memastikan medium dakwah ini mampu diterapkan ke dalam hati minda-minda si kecil masa kini agar jiwa-jiwa kecil ini mampu terdidik dan terasuh dengan asuhan berlandaskan ad-Deen itu sendiri.

Sungguh, medium yang paling hampir dengan seluruh umat manusia masa kini adalah telekomunikasi yang jika diperkecilkan lagi skopnya adalah menerusi medium hiburan yang berbentuk informasi atau dengan kata lain menerusi filem mahupun rancangan di televisyen. Nah, ternyata mediuminilah yang sekarang mencatat kedudukan tertinggi di hati insan dan bukan sahaja digemari oleh  kanak-kanak, tetapi seluruh dunia.

Masya-Allah! Persoalan baru sahaja dirungkaikan, namun isinya masih belum dikupas dan diberi dengan hujahan-hujahan dan bukti yang utuh lagi kukuh. Terfikirkah di benak kita ini bahawa betapa menularnya ideologi-ideologi yang cuba ditanamkan oleh orientalis Barat yang bertunjangkan nafsu dunia semata-mata menerusi medium yang kita praktikkan masa kini.

Lihat sahaja di kaca televisyen bagaimana serangan yang dilakukan oleh orientalis Barat ini telah meracuni pemikiran umat masa kini dengan hiburan yang melalaikan, perbuatan maksiat yang dianggap sebagai gaya dan rencah hidup masa kini yang berteraskan arus kemodenan yang melalaikan.

Nyata sahaja golongan kufar ini mampu mendabik dada dan berteriak “Inilah serangan yang dapat kami takhluki tanpa pertumpahan darah! Inilah kemenangan yang berjaya kami bolosi dengan serangan jiwa dan pemikiran umat masa kini. Kami kuasai ekonomi, hiburan dan maklumat terkini menerusi satu saluran iaitu teknologi multimedia yang semakin dikenali dan diagungi! Nah, nyata kemenangan telah kami perolehi!!” Persoalan dan bukti menampakkan diri, kini hujahan berikut mengukuhkan bukti.
Lihat sahaja bagaimana fasihnya dan tekunnya anak-anak muda generasi kini menghafal dan mengagungkan artis barat yang menjadi idola mereka. Fasihnya mereka ini menghafal lagu-lagu yang kadang butir katanya adakala berbaur lucah dan bersifat nista, sedangkan kitab Al-Quran itu seakan beban untuk dibaca apa lagi untuk dihafaz. Agungnya artis barat itu sehingga sanggup bergolok bergadai untuk ke konsert yang dibuat atas dasar ‘inilah bukti setianya aku kepadamu’ sedangkan tokoh-tokoh agama, panglima-panglima Islam yang punya sejarah gemilang tak mereka ketahui, malahan ada yang memeritkan Rasul pesuruh Allah itu tak diketahui sirah dan sifatnya. Masya-Allah! Bala apakah ini?

Demokrasi. Satu sistem yang dianggap adil dan saksama kerana menggunakan majoriti dan suara orang ramai dalam mencari sesuatu penyelesaian. Tetapi, lihat secara tersiratnya, bukan yang tersuratnya sejauh mana sistem ini mampu menaikkan sesebuah negara jika sistem yang dijalankan ini tidak diamalkan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Sejauh manakah keberkesanan dan berjayanya undang-undang itu seandainya hanya mampu dipraktikkan di atas kertas semata mahupun kata ‘DEMOKRASI’ itu sendiri sedangkan tidak diamalkan dengan cara yang betul?

Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya gejala buli, merompak, memperkosa semakin menular dalam kalangan masyarakat masa kini sedangkan jika dikaji dan ditimbang tara masalah ini berpunca daripada penerapan ideologi kufar itu sendiri.

Masyarakatkah yang salah kerana membiarkan diri mereka terjebak dalam kancah kebingungan jajahan pemikiran orientalis barat ini? Kucing mana yang mahu menolak ikan segar tersedia di depan mata, siapa yang tidak akan tertarik jika pelbagai taktik yang menyilaukan pandangan dijadikan umpan untuk menarik perhatian. Sisipan iman di dada yang lemah tidak dapat membantu menguatkan diri untuk menegah daripada berlakunya kemungkaran yang bermaharajalela di depan mata.

Pimpinan iman itu yang menyelamatkan hati-hati daripada terpaut pada ajakan lawan. Nah, nyata di sini bagaimana faktor kepimpinan itu sendiri yang dapat memainkan peranan yang teramat penting bagi menggalas bebanan ini. Sekiranya kepimpinan yang di atas pundak itu berjuang dengan panduan Al-Quran dan As sunnah, mengamalkan yang makruf dan menghindar yang mungkar, pasti gejala yang berlaku pada masa kini tidak terjadi.

Penyelesaian tidak dapat dicari andai kita saling salah menyalahi. Pentingnya di sini, ekonomi Islam itu perlu kita kuasai, ilmu duniawi itu perlu kita terokai, untuk bimbingan menuju uhkrawi. Menghurai maksud isi dunia menerusi permasalah yang cuba dikaji, nyata medium yang selama ini menjadi hiburan insan ini perlu kita kuasai dengan cara yang islami agar nilai kesedaran itu dapat kita perolehi. Lihat sahaja sejarah bagaimana Malaysia yang tercinta ini mendapat kemenangan daripada jajahan takhlukan kuasa yang lain dan tidak bukan bertitik tolak daripada medium yang paling hampir dengan masyarakat iaitu media massa.

Media massa yang memainkan peranan yang sangat penting kepada masyarakat dalam usaha dakwah Ad-Deen ini. Corak penyampaian yang sangat berkesan dan memudahkan adalah dengan cara penyampaian di saluran kaca televisyen, dan di corong-corong radio. Bukan hendak menafikan medium penulisan yang juga memainkan peranan yang sangat penting, namun kesibukan masyarakat masa kini memungkinkan hanya segelintir yang membaca berbanding dengan mendengar mahupun menonton.

Berbalik kepada isu sampingan yang dikemukakan di awal penghujahan, telah terang lagi bersuluh dapat dilihat bagaimana medium dakwah yang disebarkan melalui filem dapat menarik hati ini untuk menonton dan memahami perjuangan rasul junjungan suatu ketika dahulu untuk menyebarkan syiar Islam.

Terdetik di hati ini bahawa inilah medium yang dicari yang dapat membawa kepada penyelesaian kerosakan akidah masa kini. Bertitik tolak daripada itu, hati ini senantiasa mengharap redha Ilahi mengiringi langkah perjuangan jihad di jalan seni dengan bertunjangkan kalimah Lailaha Ilallah Muhammadur Rasulullah. Moga jalan yang diceburi tak dicemari oleh nafsu kepada duniawi hingga lalai pada yang ukhrawi.


<script>
var linkwithin_site_id = 638677;
</script>
<script src="http://www.linkwithin.com/widget.js"></script>
<a href="http://www.linkwithin.com/"><img src="http://www.linkwithin.com/pixel.png" alt="Related Posts Plugin for WordPress, Blogger..." style="border: 0" /></a>

0 ulasan:

Catat Ulasan

Search

Kajian.Net